Berita Utama

PAS mahu kerajaan beri ruang pihak rentas parti kemuka pandangan pindaan Akta 355

Semua langkah martabat undang-undang Syariah mesti didukung tanpa mengira pihak

BANGI, 9 Syaaban 1445H, Isnin – Semua pihak berkepentingan rentas parti sewajarnya diberi ruang untuk sama-sama memberi pandangan dan buah fikiran berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah itu bagi memastikan hasrat untuk mempertingkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah dapat direalisasikan.

Katanya, PAS mengalu-alukan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa kerajaan akan membawa Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) di Parlimen pada tahun ini.

“PAS berharap semua pihak berkepentingan bersifat rentas parti seharusnya dijemput untuk turut memberi pandangan dan buah fikiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, sesi libat urus mengenai RUU355 kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, PAS mengalu-alukan dan menyokong inisiatif yang kini dijalankan bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ini termasuk usaha Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengkaji dan mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Persekutuan jika perlu.

Tindakan itu bagi mengatasi permasalahan yang timbul, selain memastikan kuasa badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang Syariah termaktub secara jelas tanpa kekaburan.

“Bukan rahsia lagi bahawa polemik ini berpunca daripada beberapa keputusan dan alasan penghakiman mahkamah yang menyaksikan undang-undang Syariah negeri-negeri bukan sahaja tercabar malah terbatal dan seterusnya terdedah kepada kemungkinan pembatalan lain pada masa-masa akan datang.

“Sebagai sebuah masyarakat Islam yang menerima Syariah bukan sahaja sebagai suatu tanggungjawab tetapi juga hak agama, PAS percaya semua langkah ke arah memartabatkan undang-undang Syariah mesti diambil dan diberi dukungan penuh tanpa mengira pihak, parti atau kumpulan.

“Dalam hal ini, PAS yakin Ke Bawah Duli Raja-Raja Melayu sebagai ketua negara dan negeri-negeri yang memikul peranan sejarah yang utama sebagai obor serta payung agama, budaya, keunggulan nilai dan susila serta perpaduan dan kerukunan umat akan terus mendapat sokongan dan dokongan dari rakyat jelata terutama umat Islam,” katanya.

Katanya lagi, PAS akan terus komited pada saranan al-Quran supaya bekerjasama dan bertolong-tolongan (ta’awun) dalam perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan dan taqwa (birri wa at-taqwa) dalam semua usaha serta kegiatannya ke arah menzahirkan sebuah negara yang makmur dan mendapat keampunan Tuhan (Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghofur).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button