Berita Utama

Allah bukan perkataan Melayu, alasan orang bukan Islam guna untuk ‘pembelajaran’ tak masuk akal

Ulama sepakat istilah Allah adalah nama khas kepada zat yang Maha Esa

BANGI, 17 Zulkaedah 1444H, Selasa – Majoriti ulama bersepakat penggunaan kalimah Allah merujuk kepada ciri-ciri Tuhan yang berlandaskan kepada ajaran Islam seperti sifat yang Maha Esa, mempunyai 99 nama, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Mantan Presiden gerakan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, kalimah Allah digunakan khusus untuk merujuk kepada Tuhan yang memenuhi ciri-ciri kepercayaan agama Islam.

“Semua ulama bersepakat bahawa perkataan Allah itu telah menjadi nama khas kepada zat yang Maha Esa itu.

“Jadi bila sebut sahaja Allah, dia tak boleh gambarkan yang lain dah. Mesti merujuk kepada itu sahaja, iaitu kepada zat Allah S.W.T Tuhan yang Maha Esa.

“…yang tidak beranak dan tidak diperanakkan, yang mempunyai 99 nama, yang mempunyai sifat-sifat sekian dan seumpamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Tengku Ampunan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Fauzi berkata, penggunaan kalimah Allah dari sudut bahasa sebenarnya sudah menjadi satu perbincangan yang panjang dalam kalangan para ulama.

Sebahagian ulama mengatakan kalimah Allah bukan daripada bahasa Arab pun, walaupun ada ulama mengatakan bahawa Allah berasal dari perkataan Ilah.

“Tetapi sebahagian ulama dia kata, Allah bukan datang daripada perkataan Ilah tapi sebaliknya ia disebut dalam istilah bahasa Arab sebagai Isim Jaamid.

“Sebab itu, kalau dari segi tasrif pun, sebahagian ulama kata dia tak masuk dalam mana-mana wazan dalam tasrif bahasa Arab.

“Cara menyebut Allah pun tak sama macam sebutan perkataan-perkataan yang dieja berdasarkan kepada sorof bahasa Arab, ini pandangan ulama-ulama,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengulas isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam bagi tujuan pembelajaran atas alasan mahu menggunakan bahasa Melayu.

Beliau bertegas bahawa alasan yang diberikan sangat tidak masuk akal kerana kalimah suci tersebut bukan perkataan Melayu.

“Sekiranya mereka betul nak menggunakan bahasa Melayu, mereka terjemahkan God kepada Tuhan, bukan kepada Allah.

“Tidak ada siapa mengatakan Allah itu perkataan bahasa Melayu, dan perkataan yang lebih tepat dalam bahasa Melayu kepada God adalah Tuhan.

“Tapi kenapa mereka nak spesifik menggunakan perkataan Allah?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button