Berita UtamaIstimewa

Pemimpin DAP dangkal tak dapat beza seni dengan penghinaan

Semangat patriotik hilang jika biarkan penghinaan terus berlaku

BANGI, 12 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Begitu ceteknya pemikiran pemimpin parti tamak haloba, DAP apabila meminta kerajaan tidak membesarkan isu penghinaan terhadap Jata Negara. 

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) jangan membesarkan isu kecil dan terlalu sensitif terhadap karya seni yang tidak selari dengan pandangan sendiri lalu menindasnya menggunakan jentera kerajaan.

“Hari ini rakyat terutamanya anak seni tempatan melihat kerajaan pimpinan PN tidak dapat bertolak ansur dengan satu karya seni kecil.

“Rakyat tertanya-tanya bagaimanakah kerajaan pimpinan PN boleh berbuat sebaliknya dengan melakukan keganasan putih pada masa yang sama menggalakkan anak seni tempatan berkarya dan mengekspresi kreativiti mereka dengan bebas, ” dakwanya menerusi kenyataan disiarkan media DAP – The Rocket – pada 30 Jun lalu. 

Bimbang dengan pemikiran sebegitu, pemerhati politik, Ustaz Ibrahim Hassan al-Hafiz berkata, jika ADUN sendiri menganggap ia perkara kecil dan bukan sesuatu yang sensitif, dibimbangi segelintir rakyat akan salah tafsir dan makin menggalakkan penghinaan terhadap identiti negara.

“Saya amat hairan bagaimana seorang ADUN boleh berpandangan bahawa mempermainkan simbol negara adalah bukan isu sensitif? Adakah dia akan biarkan jika bendera negara dipermainkan?

“…Sebab itu kita lihat ada yang menghina bendera negara dengan sengaja mengibarkan secara terbalik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lebih membimbangkan lagi, apabila semangat patriotik dan sensitiviti cintakan negara seakan-akan hilang sehingga DAP membiarkan penghinaan ini berlaku. 

“Adakah janji setia itu telah diberikan kepada pihak atau negara lain? Jika DAP menganggap ia karya seni, maka begitu cetek dan dangkalnya DAP dalam meletakkan standard sesuatu seni sehingga tidak membezakan karya seni dan penghinaan. 

“Bagi saya DAP telah memberikan mesej yang salah kepada masyarakat dan ianya harus dipersoalkan,” katanya.

Walhal, Jata Negara merupakan salah satu simbol identiti dan kedaulatan negara yang harus dihormati dan dipelihara oleh semua terutamanya rakyat Malaysia.

“Ini adalah kefahaman asas bagi semua warganegara yang mempunyai semangat patriotik dan cintakan negara,” tegasnya.

Sebelum ini, buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia suntingan penulis, Kean Wong tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen kerana mempamerkan logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Buku itu diharamkan Kementerian Dalam Negeri berkuat kuasa Rabu lalu. 

Menurut Warta Kerajaan bertajuk Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020, ia membabitkan larangan secara mutlak terhadap buku berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button