Berita UtamaDunia

16 negara berdepan risiko kebuluran

Cuaca ekstrem, COVID-19 antara punca darurat bekalan makanan

GENEVA, 22 Rabiulawal 1442H, Ahad – Laporan baharu dua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran mengenai peningkatan risiko kebuluran akut di tiga negara Afrika dan Yaman yang dilanda konflik, dan risiko kebuluran yang tinggi di 16 buah negara.

Organisasi Makanan dan Pertanian (FAO) dan Program Makanan Dunia (WFP) memberi amaran bahawa ‘gabungan toksik, penurunan ekonomi, cuaca ekstrem dan pandemik COVID-19… mendorong berlakunya darurat bekalan makanan.’

Agensi-agensi berkenaan menekankan bahawa di Burkina Faso, timur laut Nigeria, Sudan Selatan dan Yaman, sedang menghadapi peningkatan tahap kebuluran akut.

Beberapa penduduk ‘sudah mengalami keadaan lapar yang kritikal,’ di mana pengurangan akses kemanusiaan boleh menyebabkan risiko kebuluran.

16 negara lain ‘berisiko tinggi mengalami tahap kebuluran akut’, kata agensi itu.

Negara-negara tersebut adalah Venezuela, Haiti, Ethiopia, Somalia, Kamerun, Republik Afrika Tengah, Mali, Nigeria, Sierra Leone, Republik Demokratik Kongo (DRC), Mozambique, Zimbabwe, Sudan, Lubnan, Syria dan Afghanistan.

Agensi tersebut mengatakan bahawa krisis kesihatan global, keadaan cuaca yang melampau dan konflik telah memburukkan lagi keadaan.

Hanya tindakan pantas bantuan makanan dapat mengelakkan kebuluran pertama sejak 2017, yang melanda sebahagian Sudan Selatan, kata mereka. 

Mengingat kembali insiden 260,000 orang mati kebuluran pada tahun 2011 di Somalia, Pengarah Kecemasan WFP, Margot van der Velden menegaskan pihaknya tidak akan membiarkan situasi sama berulang. 

“Kami mempunyai pilihan yang tegas; tindakan segera hari ini, atau kehilangan nyawa yang tidak dapat dipertimbangkan esok,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button