Berita Utama

Tidak perlu bayar balik pengeluaran i-Sinar

Amaun diganti semula dengan caruman ahli pada masa hadapan

KUALA LUMPUR, 1 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menafikan maklumat yang tular menerusi media sosial bahawa ‘ahli perlu membayar balik kemudahan pendahuluan i-Sinar daripada KWSP’.

Sebaliknya menurut KWSP, amaun yang didahulukan daripada Akaun 1 itu akan diganti semula dengan caruman ahli pada masa depan.

“Penggantian semula ini akan dilakukan dengan 100 peratus caruman baharu akan dimasukkan terlebih dahulu ke Akaun 1. Setelah jumlah amaun yang diakses daripada i-Sinar diganti semula sepenuhnya, kadar pembahagian caruman akan kembali seperti biasa iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus untuk Akaun 2.

“Amaun penggantian semula ini akan hanya diterima daripada caruman ahli pada masa depan dan bukannya secara bayaran tunai daripada ahli yang menggunakan kemudahan i-Sinar,” jelas KWSP dalam kenyataan di sini.

KWSP turut mengingatkan mereka yang berkenaan bahawa istilah yang tepat dalam konteks itu ialah “penggantian semula”.

“Penggunaan ayat-ayat tidak betul seperti ‘pembayaran balik’, ‘bayar semula’, ‘bayar kemudian’ dan yang seumpama menyebabkan kekeliruan kepada ramai pihak,” demikian menurut kenyataan itu.

Semalam, KWSP mengumumkan perincian dan kelayakan akses ke Akaun 1 bagi kemudahan i-Sinar yang akan memberi manfaat kepada dua juta ahlinya yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau ketiadaan pendapatan melibatkan anggaran dana berjumlah RM14 bilion. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button