Berita UtamaDunia

Iran tahan 11 individu dalangi letupan bom di makam komander Iran

Daesh mengaku bertanggungjawab serangan di Kerman

KERMAN, 24 Jamadilakhir 1445H, Sabtu – Pihak berkuasa Iran mengesahkan pasukan keselamatan menahan 11 individu disyaki terlibat dalam dua letupan bom yang mengorbankan hampir 100 orang di majlis memperingati pembunuhan komander Qassem Soleimani.

Kementerian Perisikan Iran dalam satu kenyataan berkata, pasukan keselamatan menahan dua individu kerana memberi sokongan kepada dua pengebom bunuh diri di Kerman.

Katanya, sembilan lagi individu berpangkalan di bahagian lain Iran yang disyaki mempunyai kaitan dengan insiden itu turut ditahan.

Pengeboman itu adalah serangan yang paling mengerikan di Iran sejak Revolusi Islam 1979.

Letupan berlaku tatkala suasana tegang di rantau itu ketika perang Israel terhadap Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di Gaza menghampiri tiga bulan.

Kementerian Perisikan berkata, ejennya merampas alat letupan dan bahan mentah, jaket letupan, alat kawalan jauh, detonator dan ribuan pelet yang digunakan dalam jaket letupan.

Salah seorang pengebom bunuh diri dikenal pasti sebagai warga Tajikistan, katanya.

Daesh telah mengaku bertanggungjawab atas serangan di Kerman, tenggara Iran, pada Rabu.

Katanya, dua anggotanya telah meletupkan tali pinggang letupan di kalangan orang ramai yang berkumpul untuk majlis memperingati Soleimani.

Soleimani dibunuh di Iraq pada 2020 oleh Amerika Syarikat (AS) menggunakan dron.

Pada 2022, Daesh mengaku bertanggungjawab atas serangan ke atas kuil Syiah di Iran yang mengorbankan 15 orang, manakala serangan terdahulu yang didakwa Daesh termasuk pengeboman berkembar pada 2017 yang menyasarkan Parlimen Iran dan makam pengasas Republik Islam itu, Ayatollah Ruhollah Khomeini.- Agensi

Pautan terdahulu;
https://ismaweb.net/2024/01/04/103-maut-letupan-di-kubur-komander-iran/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button