Dunia

Rejim penjajah Israel bertindak ganas cederakan 8 wartawan

Pasukan keselamatan secara sembarangan tembak mereka dengan peluru getah

BAITULMAQDIS, 1 Syawal 1442H, Khamis – Pasukan keselamatan penjajah Israel mencederakan sekurang-kurangnya lapan wartawan yang membuat liputan terhadap serangan ganas di Baitulmaqdis Timur, menurut Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ). 

Mereka termasuklah wartawan bebas, wartawan foto dan wartawan Agensi Anadolu yang mengalami kecederaan antara hari Jumaat dan Isnin lalu di perkarangan Masjid Al-Aqsa. 

“Wartawan sepatutnya boleh membuat liputan demontrasi di Baitulmaqdis tanpa takut, tetapi pasukan keselamatan Israel secara sembarangan menembak mereka dengan peluru getah,” kata wakil CPJ Timur Tengah dan Afrika Utara, Ignacio Miguel Delgado Culebras.

Justeru, Culebras menggesa pihak berkuasa Israel menyiasat semua serangan anggota keselamatan rejim terhadap wartawan dan bertanggungjawab atas tindakan itu. 

Ketua Editor Agensi Anadolu Timur Tengah dan Afrika, Turgut Alp Boyraz, jurugambar, Mustafa al-Kharouf dan jurukamera, Fayez Abu Rumaila berdepan tindakan keras seperti dilakukan ke atas penduduk Palestin ketika berada di tempat kejadian. 

Polis Israel melepaskan peluru getah dan memukul Boyraz di kaki kirinya, al-Kharoud di belakang badan serta Rumaila di kaki kanan. 

Ketegangan meningkat di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur sejak minggu lalu, ketika mahkamah Israel memerintahkan pengusiran keluarga Palestin. 

Rakyat Palestin yang mengadakan protes sebagai tanda solidariti ke atas penduduk di Sheikh Jarrah bagaimanapun menjadi sasaran serangan ganas Israel.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button