Berita Utama

Malaysia diancam ‘brain drain’ jika gagal buka peluang kerja

Tiba masa dedah pelajar dengan sektor kerja vokasional, kemahiran

BANGI, 14 Zulhijjah 1441H, Selasa – Kerajaan perlu merangka dasar lebih jelas dan khusus bagi memastikan peluang pekerjaan dapat diwujudkan bagi membantu golongan belia.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, mengikut kajian, antara golongan paling teruk terjejas akibat penularan COVID-19 adalah belia bawah usia 30 tahun yang majoritinya belum memiliki kestabilan kewangan kerana baru memulakan pekerjaan ataupun masih belum bekerja.

“Isu ini tidak boleh dibiarkan berlaku. Belia perlu mendapatkan pekerjaan bagi menjana sumber pendapatan diri sendiri serta menampung keluarga. 

“Belia juga khususnya yang baru tamat pengajian perlu mendapat sumber kewangan bagi membayar kembali pinjaman pendidikan masing-masing,” katanya dalam artikel yang disiarkan di BH Online, hari ini.

Mengulas lanjut, Muzaffar berkata, pekerjaan dalam kalangan belia juga penting supaya golongan ini tidak berhijrah meninggalkan negara untuk mencari kerja di tempat orang.

Sekiranya perkara itu berlaku, ia akhirnya akan menyebabkan berlaku ‘brain drain’ atau kehilangan sumber manusia berkualiti dalam negara, katanya.

“Oleh itu, penting semua pihak termasuk belia sendiri mengambil segala usaha dan langkah memastikan isu pengangguran tidak berterusan dalam negara atau meningkat mendadak.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu bekerjasama memberi pendedahan awal kepada belia mengenai peluang pekerjaan yang wujud dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, pendedahan ini perlu dilakukan bermula pada peringkat awal lagi iaitu pada peringkat sekolah supaya belia dapat mengambil langkah perlu untuk bersiap sedia menghadapi dunia pekerjaan, selepas tamat proses persekolahan ataupun pengajian kelak.

Belia juga, katanya, harus dilatih memiliki pelbagai kemahiran asas selain ilmu teori, supaya dapat menggunakan segala kemahiran dimiliki sebagai sumber pendapatan kelak.

“Subjek kemahiran hidup diajar pada peringkat sekolah menengah juga perlu diperkuatkan supaya setiap pelajar dapat mengasah aspek kemahiran hidup untuk manfaat diri mereka.

“Penting juga belia digalakkan menyambung pengajian mereka di institusi latihan dan kemahiran termasuklah sekolah dan kolej vokasional, selain berpusu-pusu menyambung pengajian di universiti,” katanya.

Bagaimanapun, pandangan serong sesetengah pihak terhadap sektor latihan, kemahiran dan vokasional perlu diketepikan kerana sektor ini boleh memberi peluang pekerjaan yang banyak terhadap belia.

“Antara contoh bidang boleh diceburi adalah kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik, perdagangan, pengurusan makanan, sains pertanian, bidang fesyen, seni kecantikan, pengurusan ladang, pengurusan perniagaan, pengaturcaraan komputer, pengurusan teknologi pejabat, hortikultur hiasan dan landskap serta lain-lain lagi.

“Bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan, sektor ini juga boleh memberi ruang kepada belia untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button