Berita UtamaDunia

Angka kematian wabak taun di Syria meningkat 29 orang

Aleppo catat sebahagian besar kematian dan kes

AMMAN, 29 Safar 1444H, Isnin – Penularan wabak taun di beberapa wilayah di Syria mengorbankan 29 orang.

Kementerian Kesihatan Syria dalam satu kenyataan memberitahu, ujian penilaian pantas mengesahkan 338 kes sejak wabak itu pertama kali direkodkan bulan lalu, dengan sebahagian besar kematian dan kes di wilayah utara Aleppo.

Katanya, 230 kes berada di wilayah Aleppo di mana 25 orang disahkan meninggal dunia.

Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, wabak itu dipercayai ada kaitan dengan pengairan tanaman menggunakan air tercemar dan orang ramai meminum air tidak selamat dari Sungai Euphrates.

Penyakit yang sangat menular itu juga merebak ke kawasan yang dikuasai Kurdish dan pembangkang di utara dan barat laut Syria, tempat jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal akibat konflik yang telah berlangsung selama sedekad.

Kes kolera disyaki meningkat kepada 2,092 di timur laut Syria sejak wabak itu diumumkan bulan ini, kata Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC) yang beroperasi di wilayah utara.

Katanya, wujud kebimbangan mengenai kes kurang laporan yang ketara.

Kemusnahan meluas infrastruktur air negara selepas lebih sedekad perang menyebabkan kebanyakan penduduk Syria bergantung kepada sumber air yang tidak selamat.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebelum wabak taun baru-baru ini, krisis air telah menyebabkan peningkatan penyakit seperti cirit-birit, kekurangan zat makanan dan keadaan kulit di rantau itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button