Berita Utama

Tahan pimpinan pembangkang politik tidak bertamadun

Kerajaan perlu lebih matang, tumpu pembangunan negara

BANGI, 16 Syaaban 1444H, Khamis – Tindakan menahan pimpinan politik pembangkang dan menghadapkan mereka atas tuduhan yang didakwa ‘direka cipta’ disifatkan sebagai politik yang tidak bertamadun.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria mendakwa ‘plot drama’ itu dilihat secara jelas apabila beberapa tuduhan kepada parti pembangkang muncul sejak hari pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki pejabat.

Katanya, tindakan berkenaan bercanggah dengan kebebasan hak asasi manusia yang menjadi slogan perjuangan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang.

“Hak asasi manusia kini hanya bersifat kebebasan yang melampaui teras dan prinsip Islam namun tidak untuk suara kebenaran menegur kerajaan.

“Suara-suara rasis terhadap Melayu dan Islam seperti mendapat perlindungan sebaliknya kebebasan mengkritik kerajaan dipasung dan dipenjarakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menggesa kerajaan pimpinan Anwar lebih matang selain menumpukan usaha membangunkan negara.

Katanya, tumpuan utama kerajaan harus diberikan kepada usaha menyemai perpaduan, meningkatkan ekonomi, membantu rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup serta kejatuhan mata wang negara.

Beliau yang juga ADUN Semanggol itu berpandangan, segala tindakan zalim dan menekan suara rakyat hanya akan meningkatkan suhu politik negara yang sememangnya tidak menentu buat masa ini.

“Rakyat sedang memerhati situasi yang berlaku, begitu juga ahli Parlimen dan ADUN masing-masing mempunyai aspirasi perjuangan politik yang bersama kebangkitan rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button