Berita Utama

Lantikan semula KP SPRM bukti Azam Baki cemerlang

Harap mampu bebaskan masyarakat dari amalan rasuah yang merosakkan

BANGI, 20 Syawal 1444H, Khamis – Lanjutan semula tempoh khidmat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Seri Azam Bakri membuktikan beliau mampu menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang dan berkesan di institusi utama pencegahan rasuah negara ini.

Lanjutan perkhidmatan itu juga sekali gus berjaya menolak persepsi buruk yang dilontar terhadap Azam dan agensi tersebut kata, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“PAS menjunjung kasih di atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan Ketua Pengarah SPRM selama satu tahun lagi berkuat kuasa 12 Mei ini.

“Bagi PAS, Azam yang mencapai umur bersara wajib 60 tahun pada tarikh sama setelah berkhidmat selama 36 tahun di agensi itu, dan dilantik untuk mengetuainya pada 2020 telah terbukti menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, meskipun Azam Baki pernah berdepan dengan beberapa dakwaaan salah laku termasuk berkaitan pemilikan saham dalam beberapa syarikat sebelum ini, PAS sentiasa menerima kenyataan penafian beliau berhubung perkara itu.

“PAS secara konsisten percaya kenyataan penafian itu, sekali gus menghalang cubaan pihak- pihak berkepentingan untuk menimbulkan keraguan terhadap maruah dan integritinya selain SPRM sebagai institusi penting negara,” katanya.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, PAS sekali lagi mengucapkan tahniah dan berharap Azam akan terus memberi khidmat cemerlang kepada negara.

“Sekali gus mampu memimpin SPRM ke tahap-tahap yang lebih membanggakan dalam usaha membebaskan rakyat dan masyarakat daripada budaya dan amalan rasuah yang merosakkan,” katanya.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan semalam berkata, pelantikan Azam telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras subseksyen 5(1) dan (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].

Tan Sri Azam Baki dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Beebi Koya.

Sebelum itu, beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM selama empat tahun bermula 2016, selain pernah menyandang jawatan Pengarah Perisikan dan Pengarah Siasatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button