Berita Utama

Anwar bincang dengan Khazanah isu penjualan KidZania Singapore

KidZania ditutup pada 2020 selepas terjejas akibat pandemik COVID-19

CYBERJAYA, 27 Zulkaedah 1444H, Jumaat – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama pengurusan Khazanah Nasional Bhd berhubung penjualan Kidzania Singapore pada harga yang terlalu rendah.

“Itu saya akan bermesyuarat dengan mereka,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan merangkap Pengerusi Khazanah ketika ditanya media mengenai laporan penjualan taman tema itu selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, di sini, hari ini.

Khazanah dan Boustead Holdings Bhd dilaporkan telah menjual KidZania Singapore yang telah ditutup operasi perniagaannya kepada Sim Leisure Group Ltd yang disenaraikan di Singapura pada harga S$110,000.

KidZania Singapore, yang dibuka pada April 2016 di Pulau Sentosa, Singapura, ditutup pada 2020, selepas terjejas akibat pandemik COVID-19.

Theme Attractions Resorts and Hotels Sdn Bhd (TARH), anak syarikat Khazanah, memiliki 80 peratus pegangan dalam Rakan Riang Pte Ltd (Rakan Riang Singapore), yang mengendalikan Kidzania menerusi usaha sama dengan Boustead Curve – anak syarikat Boustead Holdings.

Dipercayai bahawa Khazanah dan Boustead pada awalnya menyuntik sebanyak SG$48 juta (RM165.52 juta) ke dalam projek tersebut. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button