Berita Utama

PDRM terima 14 aduan penipuan wang tunai eBelia Rahmah

Rugi RM200, suspek tawar pindah wang kepada akaun mangsa gagal dihubungi

BANGI, 13 Zulhijjah 1444H, Ahad – Sebanyak 14 aduan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan kes penipuan perkhidmatan menunaikan wang bantuan eBelia Rahmah, dengan kerugian berjumlah sekitar rm2800 setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, modus operandi sindiket ialah menawarkan khidmat memindahkan wang dari akaun e-dompet Touch n Go kepada akaun bank mangsa.

Beliau berkata, suspek meminta butiran mangsa seperti nama dan akaun bank mangsa selain meminta mangsa untuk membuat imbasan pada kod QR yang diberikan.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati wang dari e-dompet Touch n Go miliknya dipindahkan keluar dan tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaun banknya,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian gagal menghubungi suspek dan mengalami kerugian RM200 dengan jumlah keseluruhan kerugian setakat ini RM2,800.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada 24 Februari lepas menyatakan bahawa kerajaan akan memberikan kredit e-tunai berjumlah RM200 kepada dua juta belia berusia 18 hingga 20 tahun, melibatkan peruntukan RM400 juta.

RM200 yang dikreditkan kepada akaun e-dompet kira-kira dua juta penerima bermula 26 Jun lalu melalui program itu untuk digunakan bagi pembelian fizikal di premis perniagaan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat, iaitu Boost, Setel dan Touch n Go eWallet.

Dalam terma dan syarat program, bantuan RM200 itu tidak boleh ditunaikan atau dipindahkan kepada akaun lain dan tindakan akan diambil sekiranya penerima berbuat demikian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button