Berita Utama

KKM larang guna akuarium jual air

Bahan kimia seperti plumbum larut dalam air, beri kesan kepada kesihatan

BANGI, 3 Muharram 1445H, Jumaat – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan penggunaan akuarium sebagai bekas penyimpanan air untuk tujuan jualan adalah dilarang, selaras Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, menjadi satu kesalahan apabila akuarium yang berfungsi sebagai bekas memelihara ikan dan bukan bertujuan untuk penyimpanan makanan, digunakan sebagai bekas penyimpanan air bagi tujuan jualan.

Beliau berkata, akuarium biasanya diperbuat daripada bahan kaca atau acrylic atau plastik dan berkemungkinan mengandungi bahan kimia seperti plumbum atau phthalates yang boleh larut dalam air, seterusnya mencemarkan air berkenaan sekali gus boleh mengakibatkan kesan kepada kesihatan.

“KKM melalui BKKM (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) akan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas penjualan makanan termasuk penjualan minuman yang menggunakan bekas bukan untuk tujuan makanan.

“Pihak KKM ingin menegaskan kepada penjual dan pengguna untuk memandang serius tentang keselamatan makanan dan memastikan makanan yang dijual adalah selamat dan berkualiti untuk semua,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Muhammad Radzi turut menasihatkan orang ramai supaya membeli makanan di premis makanan yang bersih.

“KKM komited untuk memastikan keselamatan dan kualiti makanan terjamin agar kesihatan pengguna sentiasa terpelihara.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat melalui melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button