Dunia

Israel terus agresif roboh rumah Palestin di Tebing Barat

54 bangunan dirampas atas alasan permit setakat bulan ini

RAMALLAH, 13 Muharram 1445H, Isnin – Pasukan pendudukan Israel pada Ahad menyerahkan notis perintah merobohkan lapan rumah milik rakyat Palestin di kampung Furush, Nablus di Tebing Barat yang diduduki.

Aktivis Palestin tempatan, Ghassan Daghlas berkata, notis yang diserahkan pihak berkuasa pendudukan Israel menyasarkan lapan rumah berpenghuni, salah satu daripadanya dibina sebelum pendudukan Israel di Tebing Barat pada 1967, selain dua kolam pengairan.

Ketua kampung itu, Azzam Hajj Ali memberitahu, tiga lagi notis perobohan telah diserahkan kepada penduduk pada Khamis lalu.

Dilaporkan, penceroboh haram Yahudi telah memulakan aktiviti perobohan pada Ahad dengan meratakan tanah milik perkampungan Aqraba dan Majdal Bani Fadel di tenggara Nablus.

Setakat bulan ini, pihak berkuasa pendudukan Israel merampas atau memaksa merobohkan 54 bangunan di Baitulmaqdis Timur dan Kawasan C Tebing Barat termasuk 20 rumah dengan alasan permit.

Akibat perobohan itu, 66 rakyat Palestin termasuk 34 kanak-kanak kehilangan tempat tinggal dan pendapatan 795 yang lain turut terjejas.

Perkara itu dimaklumkan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA)

dalam laporan Perlindungan Orang Awam meliputi tempoh antara 5 dan 24 Julai.

Menurut laporan itu, 80 peratus iaitu 43 daripada struktur terjejas berada di Kawasan C.

Baki 11 struktur telah dirobohkan di Baitulmaqdis Timur, termasuk sembilan struktur kediaman yang mengakibatkan lima isi rumah dipindahkan, membabitkan 24 orang merangkumi 12 kanak-kanak.

Lapan daripada 11 bangunan yang dirobohkan di Baitulmaqdis Timur telah dilakukan oleh pemilik sendiri bagi mengelakkan pembayaran denda kepada pihak berkuasa Israel.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button