Berita Utama

Harap sekolah khas anak keluarga miskin dibina kawasan Melayu

Selain murid miskin luar bandar, fokus juga pelajar miskin bandar

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 22 Muharam 1445H, Rabu – Hasrat kerajaan memperkenal sekolah khas untuk anak golongan paling miskin di negara ini mampu melonjakkan lagi prestasi mereka yang kebanyakannya di luar bandar.

Pastinya jika ia dilaksana akan memberi peluang kepada anak golongan miskin mendapat pendidikan terbaik berikutan sebelum ini Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) agak terhad.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azize Hasan percaya dalam hal ini tidak timbul soal pemisahan taraf kerana anak-anak golongan miskin akan mempunyai peluang untuk belajar dengan lebih selesa.

“Walaupun ada sekolah MRSM dan SBP namun peluang untuk kemasukan ke tempat itu tidak mencukupi selain perlu bersaing lagi dengan pelajar-pelajar lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan mahu memperkenal sekolah khas untuk anak golongan paling miskin supaya mereka tidak tertinggal dalam arus pendidikan.

Perdana Menteri berkata, ia akan lebih berkonsepkan kepada jenis sekolah menengah sains dan sekolah menengah berasrama penuh.

“Jadi, kita ada sekolah yang memberi ruang kepada anak-anak yang miskin khususnya yang paling miskin serta keputusan (akademik) yang tidak memuaskan. Kita beri mereka peluang untuk belajar,” kata Anwar.

Mengulas perkara itu, Ustaz Mohd Azizee mencadangkan supaya pembinaan sekolah rintis berkenaan diadakan di penempatan yang terdiri daripada golongan B40 dan masyarakat Melayu.

“Kadang-kadang pelajar ini bukan tidak dapat peluang masuk asrama tetapi lokaliti juga mempengaruhi untuk tinggal di asrama.

“Selain itu kos yang tinggi menyebabkan mereka terpaksa menolak untuk mendapat pendidikan yang lebih sempurna di asrama.

“Jadi kita cadangkan supaya sekolah ini di wujudkan di kawasan yang mempunyai ramai penduduk miskin terutama di negeri Kelantan, Terengganu dan juga Kedah,” katanya.

Ustaz Mohd Azizee juga berharap sekolah rintis yang akan dibina pada tahun depan itu memberi manfaat khusus golongan B40 terutama di luar bandar untuk mendapat pendidikan yang sempurna.

Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu mengenal pasti terlebih dahulu kategori pelajar yang bukan sahaja pelajar miskin luar bandar tetapi juga pelajar miskin bandar,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, projek rintis sekolah khas pelajar keluarga paling miskin di negara ini dijangka dapat dibuka dan beroperasi seawal tahun depan.

“Kita akan sedaya upaya pastikan menjelang tahun depan dah dibuka. Kita akan mulakan dengan projek rintis sebelum memperluaskan selepas itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button