Berita Utama

PRN: Jangan keluar mengundi di saat-saat akhir

9,674,456 pengundi layak tunai tanggungjawab di enam negeri esok

PUTRAJAYA, 24 Muharram 1445H, Jumaat – Menjelang hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu esok, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan pengundi untuk mengikut cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan serta tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi dinasihatkan untuk membuat semakan awal maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Esok, 12 Ogos adalah hari pengundian bagi PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta PRK Parlimen Kuala Terengganu.

Ikmalrudin  berkata seramai 9,674,456 pengundi layak mengundi di PRN enam negeri tersebut dan PRK Parlimen Kuala Terengganu pula seramai 122,160 pengundi.

Bagi PRN di enam negeri itu, katanya sebanyak 3,190 pusat mengundi dan 17,048 tempat mengundi (saluran) akan dibuka untuk tujuan pengundian dan seramai 153,760 petugas akan terlibat bagi proses pengundian itu.

PRK Parlimen Kuala Terengganu pula, ia melibatkan seramai 1,995 petugas di 41 pusat mengundi yang mengandungi 217 tempat mengundi (saluran), katanya.

Ikmalrudin berkata, meskipun pengundi dinasihatkan untuk keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan, namun pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan.

Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah dilarang dan pengundi yang membawa telefon bimbit perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

“Pengundi diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.

Semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi dilarang memakai baju/topi/ pelitup muka atau membawa material yang mempunyai nama lambang/ simbol/ gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik, katanya.

Beliau berkata, pengundi yang positif COVID-19 disarankan berhubung terus dengan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sewajarnya bagi memudahkan urusan pengundian kelak.

Beliau mengingatkan majikan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRN di enam negeri dan PRK Parlimen Kuala Terengganu sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

SPR juga mengingatkan bahawa tempoh rasmi berkempen tamat pada pukul 11.59 minit malam, 11 Ogos (Jumaat) dan selepas tempoh itu, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

“Semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Ikmalrudin berkata, mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi atau melanggar peruntukan yang ditetapkan boleh dihalang daripada memasuki pusat mengundi oleh petugas pilihan raya.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button