Berita Utama

Singkirkan menteri Kabinet tidak ‘perform’

Pemerhati lihat ada seorang dua menteri tak segera ambil tindakan atasi masalah negara

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Rabiulawal 1445H, Selasa – Rombakan Kabinet adalah satu keperluan buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggantikan mana-mana anggotanya yang gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, sama ada perkara itu akan berlaku ataupun tidak ia bergantung kepada budi bicara Anwar.

Namun, apa yang pasti katanya, adalah hak Perdana Menteri untuk merombak Kabinet dengan menggugurkan menteri atau timbalan menteri yang berprestasi lemah.

“Kalau pandangan pemerhati seperti saya, nampak ada anggota Kabinet yang tidak segera mengambil tindakan mengatasi masalah negara. Mungkin seorang dua anggota Kabinet yang tidak ‘perform’. Maka mereka boleh dikeluarkan daripada Kabinet. Isu ekonomi dan kepenggunaan adalah isu besar hari ini.

“Kalau menteri-menteri yang bertanggungawab tidak menangani dengan baik, mereka harus ditukar setelah prestasi mereka diperhatikan secara keseluruhan. Pengganti Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub harus disegerakan.

“Khabarnya juga kerajaan perlu Menteri Kewangan kedua. Jadi, jawatan itu perlu disegerakan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Nik Ahmad berpendapat rombakan Kabinet adalah satu lumrah setiap kerajaan sama ada baharu dilantik atau sebaliknya.

Katanya, dalam konteks Kerajaan Perpaduan sekarang, ia telah berkuasa selama lebih kurang 10 bulan.

Dalam pada itu, beliau berkata, negara melalui pelbagai cabaran khususnya ekonomi, mata wang ringgit merudum berbanding AS$, harga makanan yang meningkat dan kos sara hidup secara keseluruhannya meningkat.

Lebih parah lagi, negara kini menghadapi kekurangan beras tempatan.

Pun begitu, beliau menegaskan bahawa perubahan atau rombakan Kabinet perlu dilakukan dengan cermat bagi memastikan kestabilan antara parti gabungan PH.

“Dalam masa 10 bulan prestasi anggota-anggota Kabinet diperhatikan khususnya oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Bagaimanapun saya lihat penukaran menteri oleh Perdana Menteri perlu dibuat dengan berhati-hati kerana sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan, kepentingan semua parti-parti di dalamnya hendaklah dilihat sama rata untuk mengelakkan kerajaan hilang sokongan di Parlimen,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan rombakan Kabinet bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkemungkinan akan berlaku dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, antara sebabnya ialah berlaku kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan kematian penyandang, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button