Berita Utama

PAS Pahang hantar tiga nama calon PRK DUN Pelangai

Semua pemimpin aktif, mampu bawa kemenangan pada parti

BANGI, 11 Safar 1445H, Isnin – PAS Pahang telah menghantar tiga nama kepada pucuk pimpinan pusat untuk dipertimbangkan sebagai calon yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober depan.

Senarai nama calon itu diterima daripada PAS Bahagian Bentong, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu.

Beliau berkata, semua calon yang dipilih memenuhi kelayakan, terdiri daripada pemimpin aktif, disenangi masyarakat serta mampu membawa kemenangan di kawasan itu.

“Kesemua nama berkenaan telah diserahkan Majlis Syura PAS, minggu lalu.

“Kita tunggu dan bersedia terima keputusan daripada kepimpinan PAS Pusat, sesiapa sahaja dicadangkan dan dicalonkan kita akan terima,” katanya.

Dalam pada itu, Andansura berkata, persiapan menghadapi PRK kali ini akan diselaraskan rakan gabungan PN.

Malah, beliau menjangkakan beberapa siri mesyuarat akan diadakan bagi memastikan semuanya berjalan lancar menjelang hari penamaan calon.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Allahyarham Johari, merupakan seorang daripada 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2023/08/23/1prk-pelangai-pn-yakin-mampu-buru-kerusi-ke-18-di-pahang1/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button