Berita Utama

SST naik 8 peratus, cukai barang bernilai tinggi diperkenalkan

Kenaikan tak termasuk perkhidmatan makanan, telekomunikasi

KUALA LUMPUR, 27 Rabiulawal 1445H, Jumaat – Beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan mulai tahun hadapan bagi meluaskan asas hasil negara dan pada masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, cukai yang dipungut oleh kerajaan adalah antara yang terendah di Asean pada 11.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar ketimbang (berbanding) Singapura (12.6 peratus) dan Thailand (16.4 peratus).

Menurutnya, kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8.0 peratus ketimbang 6.0 peratus dan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

“Kerajaan juga akan meluaskan skop perhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, kerajaan juga akan menguatkuasakan pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.

Kerajaan turut mempetimbangkan pengecualian cukai keuntungan modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti tawaran awam permulaan (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Anwar berkata, kerajaan akan turut menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan cukai barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button