Berita Utama

Mohd Azizi dakwa ada ‘broker politik’ tawar RM4 juta kepadanya: Kamaruddin

Bersatu terkejut keputusan MP Gua Musang sokong Anwar

KOTA BHARU, 24 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Keputusan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim mengisytiharkan sokongannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan campuran, mengejutkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, beliau dimaklumkan bahawa Mohd Azizi telah mengeluarkan kenyataan melalui catatan Facebook.

“Kenyataan beliau amat memeranjatkan saya kerana Sabtu lalu (4 November), kita ada mesyuarat Bersatu negeri dan beliau (Azizi) turut menghadiri mesyuarat.

“Dalam pertemuan itu, beliau memberitahu saya bahawa seorang ‘broker politik’ telah menawarkan kepadanya RM4 juta berserta faedah lain jika beliau membuat kenyataan untuk mengisytiharkan sokongannya kepada PMX (Anwar).

“Dia memberitahu saya bahawa dia telah menolak semua tawaran dan saya mengucapkan tahniah kepadanya,” katanya seperti dilapor New Straits Times.

Bagaimanapun, kenyataan terbaharu ini ternyata mengejutkan, justeru Kamaruddin berkata, sebarang tindakan terhadap Mohd Azizi akan diputuskan pimpinan tertinggi Bersatu.

“Buat masa ini, saya serahkan kepada pimpinan pusat parti untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” tambahnya.

Keputusan Mohd Azizi itu menyusuli tindakan sama oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya, Mohd Azizi mengakui tindakannya menyokong Anwar dilakukan demi dan kebaikan rakyat di kawasannya.

“Setelah teliti dan mendengar pembentangan Belanjawan 2024 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim – yang berusaha menerajui pemulihan ekonomi negara dan meringankan beban kewangan rakyat – saya selaku Ahli Parlimen Gua Musang dengan ini mengisytiharkan sokongan penuh saya terhadap kepimpinan Perdana Menteri mulai tarikh kenyataan media ini dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan itu.

Mohd Azizi, yang bertanding atas tiket PAS ketika Pilihan Raya Umum ke-15 berkata, langkah itu akan membolehkan pengundinya menikmati pelbagai manfaat dan inisiatif termasuk menaik taraf kemudahan infrastruktur yang pernah dimintanya untuk Gua Musang semasa memegang jawatan.

Pengisytiharan sokongan Mohd Azizi terhadap Anwar dibuat selepas Bersatu mengumumkan menggantung keahlian Suhaili dalam parti itu selama enam tahun, juga kerana menyokong PM.

Dua hari sebelum itu, Bersatu juga telah menggantung keahlian Iskandar Dzulkarnain, selama empat tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button