Berita Utama

Isu Palestin: GSPP ajak sokong petisyen 9 tuntutan kepada kerajaan

Terus sokong rakyat Gaza dengan bantuan kewangan untuk terus bertahan

BANGI, 6 Jamadilawal 1445H, Isnin – Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) mengajak orang ramai untuk menandatangani petisyen menyokong sembilan tuntutannya kepada Kerajaan Malaysia dalam isu Palestin.

Menerusi petisyen itu, GSPP kecewa dengan kenyataan seorang menteri yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara diam-diam berbincang dengan pimpinan negara Islam lain, bersetuju dengan rancangan memindahkan penduduk Gaza ke Sinai.

Bahkan, GSPP melihat tiada sebarang langkah strategik sepadan dengan perang pembebasan yang ingin dilaksanakan kerajaan, namun hanya terbatas kepada seruan kemanusiaan sahaja.

Berdasarkan perkembangan itu, GSPP mengemukakan sembilan tuntunan kepada kerajaan Malaysia iaitu:

1) Menuntut kerajaan supaya meneruskan dasar tidak ada hubungan diplomatik dengan Israel;

2) Menuntut kerajaan supaya berterusan memberikan sokongan kepada gerakan pembebasan Palestin serta menyokong keteguhan rakyat Palestin;

3) Menuntut kerajaan supaya tidak memenuhi apa-apa tuntutan atau desakan bagi menormalisasi sebarang bentuk hubungan dengan Israel;

4) Menuntut kerajaan supaya tidak mengiktiraf penyelesaian Two State Solution dan mengembalikan peta Palestin yang asal sebelum Deklarasi Balfour 1917;

5) Menuntut kerajaan supaya menolak rancangan Perjanjian Abad Ini (Deal of the Century) yang akan menjuruskan ke arah pembinaan Israel Raya;

6) Menuntut kerajaan supaya tidak sesekali memihak kepada blok barat seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan lain-lain negara yang menyokong pembunuhan beramai-ramai (Genocide);

7) Menuntut kerajaan supaya bertegas dan tidak tunduk kepada tekanan blok Pro-Israel yang cuba menghalang apa-apa bentuk penzahiran solidariti kerajaan dan rakyat Malaysia kepada isu perjuangan pembebasan Palestin;

8) Menuntut kerajaan supaya, segala sumbangan disampaikan secara telus kepada rakyat Palestin yang dizalimi di Gaza bukan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mempunyai persepakatan dengan Israel;

9) Menuntut kerajaan supaya melobi dan mempengaruhi pendirian negara Islam dan badan antarabangsa berkaitan isu Palestin dengan memastikan sebarang rundingan atau persetujuan masa hadapan mestilah melibatkan gerakan pembebasan Palestin, bukan badan yang tidak mewakili majoriti rakyat Palestin.

Bagi menggerakkan masyarakat untuk berperanan dalam perang pembebasan Palestin, GSPP merancang beberapa aktiviti yang akan dilaksanakan di seluruh Malaysia membabitkan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti masjid, universiti serta badan kerajaan dan swasta.

“Aktiviti yang dirancang adalah seperti Konvoi Solidariti Pembebasan Palestin, Jelajah Solidariti Pembebasan Palestin, Larian Solidariti ‘serang Israel’, Wacana Palestin, Kempen 1 Rumah 1 Tabung 1 Bendera, Kempen Kibar Bendera Palestin serta kempen di media sosial seperti 11 Minit Untukmu Palestin, video kiriman cinta untuk Gaza dan pelbagai lagi.

“GSPP juga ingin mengajak rakyat Malaysia untuk terus menyokong keteguhan rakyat Gaza supaya tidak berpindah dan terus bertahan dengan memberikan bantuan kewangan supaya mereka dapat terus menjalani kehidupan seperti biasa di bumi Gaza,” katanya.

Petisyen boleh ditandatangani di https://tuntut.bebaspalestin.com/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button