Dunia

Hamas kutuk rejim pengganas Israel bom masjid tertua di Gaza

Kemusnahan teruk Masjid Omari bukti jenayah kejam, biadab Zionis

GAZA, 25 Jamadilawal 1445H, Sabtu – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengecam tindakan tentera pengganas Israel mengebom masjid bersejarah di Semenanjung Gaza.

Menurut agensi berita Reuters, Hamas menyifatkan kemusnahan teruk yang dilakukan pada Masjid Omari sebagai jenayah kejam dan biadab.

Menerusi gambar yang disiarkan media kendalian Hamas di Gaza, dapat disaksikan kerosakan teruk pada struktur masjid terbabit, dengan dinding dan bumbungnya tumbang serta retak besar di bahagian bawah menara batu.

Jurucakap tentera Israel sehingga kini enggan mengulas mengenai kesan serangan yang mengakibatkan kerosakan pada masjid itu.

Masjid Omari – dinamakan sempena khalifah kedua Islam, Saidina Umar – adalah masjid tertua dan terbesar di kawasan kecil Palestin, yang berada di bawah pengeboman Israel sejak serangan 7 Oktober lalu.

Serangan dahsyat rejim Israel telah membunuh lebih 17,000 rakyat Palestin dan memusnahkan seluruh wilayah, termasuk banyak infrastruktur awam seperti sekolah, hospital dan masjid. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button