Dunia

Lubnan fail aduan baharu kes Israel ke PBB

Tindak balas kepada Tel Aviv tuduh Beirut tak patuh Resolusi 1701

BEIRUT, 29 Jamadilakhir 1445H, Khamis – Lubnan memfailkan aduan baharu kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) sebagai tindak balas kepada Israel yang menuduh Beirut tidak patuh Resolusi PBB 1701.

Kementerian Luar Lubnan dalam kenyataan berkata, aduan itu termasuk bukti yang didokumenkan mengenai pelanggaran Israel terhadap Resolusi 1701.

Kenyataan itu menyatakan penyelewengan fakta yang dilakukan Israel dengan menganggap Lubnan bertanggungjawab di atas pelanggaran terang-terangannya terhadap kedaulatan serta integriti wilayah.

Digunapakai pada 11 Ogos 2006, Resolusi 1701 menggesa pemberhentian sepenuhnya permusuhan antara Lubnan dan Israel.

Ia menggesa supaya Israel berundur di belakang Talian Biru dan pelucutan senjata wilayah di antara garisan dengan Sungai Litani di Lubnan, dan membenarkan hanya tentera Lubnan serta Pasukan Interim PBB di negara itu untuk memiliki senjata dan peralatan ketenteraan di kawasan terbabit.

Minggu lalu, Lubnan memfailkan aduan PBB terhadap Israel berhubung serangan udara yang membunuh Timbalan Ketua Hamas, Saleh al-Arouri di ibu negara Beirut.

Ketegangan semakin memuncak di sepanjang sempadan Lubnan dengan Israel sejak tentera Zionis melancarkan serangan maut di Semenanjung Gaza pada Oktober lalu.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button