Berita UtamaDunia

Hamas tuntut gencatan senjata menyeluruh

Syarat lain dibincang sebaik pertempuran berhenti

GAZA, 18 Rejab 1445H, Selasa – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dilaporkan mahu gencatan senjata yang lengkap dan menyeluruh di Gaza, selepas pengantara Qatar memaklumkan rangka kerja untuk gencatan senjata sementara sedang diusulkan.

“Kami tegaskan mengenai gencatan senjata yang menyeluruh, bukan sementara,” kata pegawai kanan Hamas, Taher Al-Nunu kepada AFP.

Menurutnya, sebaik sahaja pertempuran berhenti, butiran selebihnya boleh dibincangkan termasuk pembebasan tebusan.

Qatar bersama Mesir dan Amerika Syarikat (AS) telah mengetuai usaha pengantaraan sejak perang meletus pada 7 Oktober antara Israel dan Hamas.

Terdahulu, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani berkata, pertemuan di Paris dengan ketua Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan pegawai tertinggi keselamatan Israel serta Mesir telah menghasilkan rangka kerja untuk gencatan senjata berperingkat.

Beliau mengesahkan bahawa rangka kerja itu akan menyaksikan tebusan wanita dan kanak-kanak dibebaskan terlebih dahulu, dengan bantuan juga memasuki Semenanjung Gaza yang dikepung.

Pihak-pihak itu berharap untuk menyampaikan usul ini kepada Hamas dan membawa mereka ke tempat yang mana gerakan perjuangan itu terbabit secara positif dan konstruktif dalam proses berkenaan.

Tidak jelas sama ada Hamas menerima cadangan itu daripada Qatar.

Sebelum ini, Qatar menjadi pengantara dalam gencatan senjata pada hujung November yang membawa kepada pembebasan sejumlah tebusan Israel dan warga asing serta bantuan memasuki wilayah Palestin yang terkepung.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button