Berita Utama

Taasub melampau dorong umat Islam sesat: Khutbah

Mantapkan ilmu agama dengan guru yang berpandukan al-Quran, Hadis

BANGI, 21 Rejab 1445H, Jumaat – Khutbah Jumaat berpesan kepada masyarakat supaya mendapatkan penjelasan dan pandangan dalam sebarang perkara yang tidak jelas mengenai Islam kepada pihak berkuasa agama untuk kefahaman sebenar.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam khutbahnya berkata, langkah itu adalah untuk menghalang umat Islam daripada mudah terpengaruh dan mempunyai sifat taasub melampau sehingga melakukan perkara kesesatan.

Khutbah menegaskan, umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada terjebak dan terpengaruh dengan sebarang perkara mengenai agama yang meragukan oleh mana-mana individu yang cuba menanam sifat taasub kepada diri atau orang lain.

“Mutakhir ini, fakta menunjukkan bahawa sikap mudah terpengaruh dengan sesuatu dan sikap taasub telah menjadi masalah yang bukan sahaja membawa kepada perpecahaan ummah, bahkan telah membawa kepada budaya saling menyesatkan sesama Islam dan kuatnya suatu ajaran yang didakwa sebagai bercanggah dengan prinsip Islam sebenar.

“Fakta menunjukkan kepada kita bahawa taasub kepada kumpulan-kumpulan tertentu telah menjadikan umat Islam hari ini terus berbalah,” kata khutbah.

Menurut khutbah lagi, taasub kepada watak dan tokoh ilmuan tertentu juga membutakan hati sebahagian umat Islam antara kebenaran yang palsu untuk kepentingan dunia individu atau kumpulan, berbanding suatu hak dan kebenaran serta ruang untuk berbeza pandangan.

“Pempengaruh biasanya adalah individu yang akan memanfaatkan mereka yang terpengaruh, ditambah dengan ketaasuban, mereka yang terpengaruh dan taasub akan menjadi ejen-ejen yang mengembangkan pengaruhnya, akan menjadi pihak yang memberi tekanan, persepsi dan provokasi kepada pihak berautoriti.

“Pempengaruh akhirnya mendapat kedudukan dan tempat untuk kehidupan dunia dengan kepatuhan membuta tuli pengikut,” katanya.

Atas sebab itu, khutbah mengingatkan umat Islam sentiasa memantapkan ilmu agama dalam diri daripada guru yang berpandukan al-Quran dan Hadis serta menghuraikannya mengikut pandangan ulama.

“Hadirlah ke masjid dan surau untuk belajar dari guru-guru agama yang diberi tauliah oleh Majlis Agama Islam Selangor.

“Masyarakat juga hendaklah melaporkan aktiviti agama yang dibuat secara sembunyi dan kecil-kecilan di premis selain masjid dan surau kepada pihak berkuasa agama untuk siasatan kerana agama Islam itu sifatnya terbuka kepada semua orang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button