Berita UtamaUncategorized

Peniaga kartel terus raih untung besar kerana tiada tindakan undang-undang?

Siapa dalang? Kenapa terus berlaku dan masih tidak terbendung?

BANGI, 27 Rejab 1445H, Khamis – Meskipun pelbagai rungutan dan desakan dilakukan, isu kartel terus berleluasa sehingga memangsakan pengusaha kecil yang jujur, paling teruk mewujudkan ketidaksetaraan dalam ekonomi.

Kartel ialah pakatan antara peniaga termasuk pembekal untuk meningkatkan keuntungan kolektif dengan cara menetapkan paras harga, mengehadkan bekalan, penipuan bida serta persetujuan khusus peruntukan pasaran dan pelanggan.

Felo Perunding dan Pemegang Kursi Keterjaminan Makanan, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan UPM, Prof Datin Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata, peniaga berkartel terus meraih untung besar tanpa tindakan undang-undang ke atas mereka.

Lebih mengecewakan katanya, tiada reformasi struktur dilaksanakan, iaitu penyelesaian asas kepada masalah ini.

“Siapakah dalang sebenarnya mencetuskan amalan kartel ini?

“Begitu juga mengapa ia kerap kali muncul dengan selok-belok atau tipu helah sama, tetapi masih tak terbendung oleh polis mahupun kerajaan?,” katanya menulis rencana disiarkan di Berita Harian.

Beliau berkata, kartel berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya wujud jurang harga besar sama ada antara masa atau lokasi.

Perubahan harga ini mungkin disebabkan ketidakimbangan penawaran dan permintaan serta faktor teknikal lain, katanya.

Dr Fatimah mengambil contoh krisis beras pada 2023, yang mana peluang wujud apabila ada jeda harga besar antara beras tempatan dengan import.

“Harga beras tempatan ditetapkan pada paras RM2.60 per kilogram berbanding harga import RM3.60, iaitu perbezaan 30 peratus. Jika penjual menipu dengan menjual beras tempatan sebagai beras import, ia akan mendapat keuntungan RM277 bagi setiap tan.

“Pada suatu ketika, peniaga bersekongkol untuk mengehadkan bekalan beras tempatan di pasaran sehingga rak di pasar raya kosong. Ketika insiden ini berlaku, tiada satu pun kementerian tampil untuk bertindak pantas kecuali pada hari kemudian.

“Insiden ini menunjukkan kemampuan dan kekuatan peniaga mempengaruhi pasaran tanpa digugat tindakan kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, peniaga bersekongkol mencampurkan beras tempatan dengan import dan dijual pada harga import.

Amalan ini bertapak lama kerana polisi menetapkan harga beras tempatan dan harga beras import diapungkan.

“Secara tak langsung wujud perbezaan harga mendorong kegiatan kartel.

“Begitu juga sebilangan kecil pengimport daging halal bersekongkol melaksanakan kartel untuk meningkatkan harga jualan. Selain kartel, lesen halal turut menjadi komoditi untuk dijual beli antara peniaga,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button