Dunia

Israel langgar keputusan ICJ, burukkan lagi bencana kemanusiaan di Palestin

Serangan rejim haram jejaskan usaha gencatan senjata

ISLAMABAD, 3 Syaaban 1445H, Selasa – Pakistan mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza dan menegaskan Tel Aviv melanggar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bulan lalu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, serangan itu memburukkan lagi bencana kemanusiaan di Gaza sejak empat bulan lalu dan menjejaskan potensi usaha gencatan senjata.

“(Kita) mendesak masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil langkah segera menamatkan pencerobohan Israel dan jenayahnya yang berterusan terhadap kemnusiaan,” kata kementerian.

Sebelum ini, Afrika Selatan memfailkan kes di ICJ bagi menuduh Israel gagal menegakkan komitmennya di bawah Konvensyen Genosid 1948.

Dalam keputusan interimnya pada Januari, mahkamah PBB itu memutuskan bahawa dakwaan Afrika Selatan adalah munasabah.

Ia mengarahkan langkah-langkah sementara ke atas Israel untuk menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan menjamin bantuan kemanusiaan dapat diberikan kepada orang awam di Gaza.

Selain Pakistan, Kementerian Luar Maldives turut mengutuk sekeras-kerasnya ancaman Israel untuk memperluaskan pencerobohan berskala penuh ke atas bandar Rafah.

“Perpindahan paksa dan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah dan sekatan bantuan kemanusiaan oleh penceroboh Israel adalah bertentangan undang-undang serta peraturan antarabangsa dan sama seperti jenayah perang,” katanya.

Kementerian menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai dan menggesa Tel Aviv mematuhi perintah sementara ICJ.

Kerajaan Afghanistan yang diterajui Taliban turut senada dan lantang mengkritik Israel pencerobohan Israel ke atas Rafah.

“Kesinambungan kekejaman tentera Zionis di bandar Rafah akan menyebabkan bencana besar dan krisis berlarutan,” katanya.

Taliban menggesa negara-negara berpengaruh dunia dan serantau, negara Islam serta badan hak asasi manusia yang kononnya mahu ‘mencegah’ pembunuhan beramai-ramai mencari jalan penyelesaian terhadap konflik ini.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button