Berita Utama

PKPB: Bukan warganegara, kanak-kanak tak dibenar solat di masjid, surau

Tak dapat solat Jumaat, wajib gantikan dengan solat Zuhur

KUANTAN, 3 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Individu bukan warganegara Malaysia dan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun tidak dibenar menunaikan solat Jumaat dan solat fardu di masjid atau surau sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pahang.

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi kenyataan media di sini hari ini, bagaimanapun memaklumkan mereka yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat di masjid atau surau yang diberi kebenaran melaksanakan solat itu, wajib menggantikannya dengan solat zuhur.

“Pelaksanaan solat Jumaat ialah dengan bilangan wajib seramai 40 orang atau lebih berdasarkan kepada kapasiti ruang solat dengan penentuan jemaah secara ‘walk in’. Mereka wajib mengimbas suhu badan serta merekodkan kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera atau PahangGo.

“Jemaah wajib membawa sejadah sendiri, mematuhi penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka termasuk semasa mendirikan solat manakala imam hendaklah membaca surah yang ringkas serta memendekkan bacaan wirid dan doa selepas solat,” menurut kenyataan itu.

Jemaah juga dilarang mengubah tempat duduk semasa melakukan amalan sunat selepas waktu solat maghrib sehingga isyak atau semasa mengikuti kuliah pengajian ilmu.

Aktiviti pengajian ilmu itu juga hanya dibenarkan selepas solat subuh dan antara maghrib dan isyak dengan penceramah yang dibolehkan ialah mereka dari dalam negeri sahaja.

“Jamuan selepas aktiviti pengajian ilmu adalah tidak dibenarkan. Pihak pengurusan masjid atau surau hendaklah tegas dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) ini serta melakukan proses sanitasi di ruangan solat, tempat wuduk serta tandas sekerap yang boleh,” menurut kenyataan itu.

JAIP juga melarang majlis akad nikah dilakukan di masjid dan surau sepanjang PKPB, yang berkuat kuasa mulai Rabu lalu (13 Jan) hingga 26 Jan ini bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Bagi pengurusan jenazah, JAIP memaklumkan ia boleh dilakukan di bilik atau ruangan khas dengan bilangan pengendali berdasarkan keluasan ruang serta mengambil kira penjarakan fizikal dalam satu-satu masa serta memakai pelitup muka.

“Solat jenazah boleh dilakukan di ruang solat dan hanya bacaan talkin serta tahlil ringkas sahaja dibenarkan selepas pengebumian,” menurut kenyataan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button