Berita UtamaIstimewa

Definisi ‘essential services’ tak jelas, mengelirukan: PEMBELA

Apa ukuran dibuat MITI hingga benarkan 128,000 syarikat beroperasi?

BANGI, 23 Syawal 1442H, Jumaat – Rakyat tertanya-tanya apakah ukuran yang dibuat oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sehingga banyak perniagaan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh fasa pertama.

Bahkan, definisi ‘essential services’ juga mengelirukan dan tidak jelas sehinggakan jumlah yang mendapat kelulusan beroperasi sudah menjangkau 128,000 syarikat, kata Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya.

“Apa yang merisaukan saya ialah kenyataan Kementerian Kesihatan yang mengatakan sistem kesihatan Malaysia mungkin akan lumpuh jika kes meningkat kepada 13,000 orang sehari.

“Begitu juga kenyataan Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman bahawa angka kematian boleh mencecah 26,000 pada September ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, dua kenyataan daripada pihak berautoriti kesihatan itu sememangnya menakutkan dan tidak boleh dipandang mudah.

Katanya, suatu tindakan segera dan tegas mesti dilakukan supaya nyawa rakyat tidak menjadi taruhan demi kepentingan ekonomi semata-mata.

“Kalau ‘pergaduhan’ antara ‘pintu depan’ dan ‘pintu belakang’ ini benar-benar berlaku di peringkat menteri, ini pasti ianya akan memburukkan lagi keadaan.

“Selalunya apabila pemimpin tidak sepakat, negara akan lagi huru-hara. Jadi sekali lagi, saya merayu agar pemimpin negara supaya bersepakat dan lupakan sentimen politik demi nyawa rakyat. Jangan pentingkan diri sendiri!,” katanya.

Sebelum ini, wujud desas-desus kontroversi isu ‘pintu belakang’ ekoran kenyataan yang dimuat naik Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang didakwa mengaitkan pengoperasian perniagaan ketika tempoh PKP.

Malah, ada media melaporkan kononnya berlaku pertengkaran panas membabitkan beberapa menteri tercetus berhubung tindakan MITI membenarkan kira-kira 95,000 syarikat beroperasi ketika fasa ‘total lockdown’ ini.

Difahamkan, pertelingkahan tercetus awal minggu ini apabila sejumlah menteri tidak berpuas hati kerana banyak syarikat dibenarkan beroperasi walaupun persetujuan dicapai untuk melaksanakan PKP ketat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button