Berita Utama

Tun M enggan tinggalkan politik

'Demi negara, orang minta tolong takkan nak kata...maaf, tak boleh’

PUTRAJAYA, 6 Ramadan 1444H, Selasa  – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi reaksi dingin terhadap cadangan seorang ahli ekonomi supaya beliau menjauhi politik dan kekal menjadi negarawan.

Sebagai respons kepada nasihat Prof Jomo Kwame Sundaram, pemimpin berumur 97 tahun itu berkata, beliau tidak semestinya mengikut nasihat pakar ekonomi berkenaan.

“Itu pendapat Jomo, tidak semestinya saya ikut pendapat dia… tapi berlaku ini (desakan) bukan kerana saya terbabit tetapi kerana Datuk Seri Anwar sebut kesalahan saya. 

“Tidak ada kena mengena sama ada saya aktif dalam politik atau pun tidak,” kata Dr Mahathir, yang kini bersama Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Pada forum anjuran Persatuan Oxford dan Cambridge Malaysia semalam, Jomo berkata, Dr Mahathir ‘degil’ dan tidak mengendahkan nasihatnya untuk mengambil peranan sebagai negarawan ulung daripada terus aktif dalam politik.

“Saya memberitahunya bahawa daripada terus terlibat dalam politik, dia patut mengambil peranan sebagai negarawan ulung.

“Dan seperti biasa, dia tidak mengendahkan nasihat saya,” kata Jomo.

Dr Mahathir pula berkata, beliau akan terus aktif dalam politik demi kemakmuran negara.

“Berpolitik demi negara, orang datang minta tolong takkan saya hendak kata.. maaf, tidak boleh tolong pasal saya hendak rehat.. saya ada pendapat dan ada pandangan.

“Bila orang minta supaya saya beri pendapat, saya sedia beri pendapat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button