Berita UtamaDunia

Iran gelar Israel negara pengganas

Gesa OIC bertindak serius henti serangan biadab ke atas Palestin

TEHRAN, 15 Zulhijjah 1444H, Selasa – Iran mengecam keras operasi rejim pengganas Israel di bandar Jenin, Tebing Barat dan menyifatkan perbuatan itu sebagai tindakan jenayah paling teruk.

Semalam, sekirang-kurangnya sembilan rakyat Palestin terkorban dalam serangan tentera Zionis di Tebing Barat termasuk lapan di Jenin dan lebih 50 yang lain cedera, menurut Kementerian Kesihatan.

“Ini merupakan tindakan jenayah dan contoh negara pengganas,” kata jurucakap Menteri Luar Iran, Nasse Kanaani.

Tegas beliau, rakyat Palestin tidak melakukan apa-apa jenayah kecuali mempertahankan hak undang-undang dan hak mereka supaya negara diiktiraf.

Justeru, beliau menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tanggungjawab atas serangan biadab ke atas Palestin.

Malah Iran juga mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bertindak serius dalam menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin.

Serangan di Jenin telah membuktikan kompromi untuk keamanan tidak berkesan dalam mematikan tindakan tentera Zionis.

Serangan terbaharu tentera negara haram Israel itu berlaku selepas beberapa pemimpin kumpulan Jihad di Gaza dan pergerakan Islam Hamas iaitu Ziad Nakhalah dan Ismail Haniyeh membuat lawatan ke Tehran.

Kedua-dua pemimpin utama tersebut mengadakan perbincangan dengan pegawai tertinggi Iran.

Sejak kebelakangan ini ketegangan semakin memuncak di Tebing Barat dan serangan Zionis semakin berulang-ulang di beberapa bandar Palestin.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button