Berita Utama

NGO rayu perkukuh usaha pembangunan bahasa Melayu

Salur bantuan berganda, percepat pindaan Akta DBP yang 'tersangkut' di AGC

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 26 Rabiulawal 1445H, Khamis – Majlis Perundingan Melayu (MPM) mengesa kerajaan terus memperkukuhkan usaha pembangunan bahasa Melayu di negara ini sebagai bahasa rasmi serta bahasa sains dan teknologi.

Langkah itu boleh dilakukan dengan memberi peruntukan yang berganda dan mencukupi dalam Belanjawan 2024, yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat ini.

Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani MPM, Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, kedudukan bahasa Melayu sekadar tercatat dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sahaja sejak 1957 tidak mencukupi.

Apa yang penting adalah amalan iaitu dalam pelaksanaan dan penguatkuasaannya bagi semua bidang.

“Pindaan Akta DBP yang difahamkan masih ‘tersangkut’ lagi di Jabatan Peguam Negara hendaklah dipercepat. Begitu juga dengan naskah Perlembagaan Persekutuan yang wajib diumum segera secara rasmi bahawa teks sahihnya ialah teks dalam bahasa Melayu.

“Hal penting ini tidak wajar ditangguhkan lagi kerana telah bertahun disiapkan sehingga boleh menjadi pertikaian dalam urusan perundangan dan kehakiman.

“Pemurnian istilah dan sebagainya boleh dibuat dari semasa ke semasa oleh Jabatan Peguam Negara, DBP dan pihak yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net.

Selaras dengan usaha memperkukuh bahasa Melayu bagi pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi, Kamal Shukri berkata, program Dwibahasa (DLP) yang merupakan warisan muslihat pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) wajar dihentikan segera.

Tegasnya, MPM membantah keras sebarang usaha untuk melanjutkan lagi program ‘DLP-PPSMI’ ini dan tidak patut diberi sebarang peruntukan dalam belanjawan nanti.

Apatah lagi jika ditambah, maka akan mempercepatkan merosotnya bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi bagi masa depan negara dan bangsa di Malaysia.

Bahkan, ia juga merencatkan usaha untuk memperbanyak pelajar dalam bidang sains teknologi yang merosot mulai era PPSMI ketika Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Katanya, sebagai negara yang menjulang konsep madani, Malaysia wajar mencontohi bangsa yang berjiwa besar yang membangun negara mereka dengan bahasa sendiri.

“Jika bukan bangsa-bangsa dan pemimpin di Malaysia sendiri yang gigih untuk tujuan ini, siapakah lagi yang hendak diharapkan.

“Justeru, MPM merayu campur tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan selaku pejuang bahasa kebangsaan tulen sejak era 70-an agar tidak tunduk kepada sebarang tekanan.

“Termasuk daripada mana-mana golongan anglophiles yang masih terjajah mindanya dan terus memuja bahasa negara lain walaupun sudah lebih 60 tahun merdeka,” katanya.

Katanya lagi, golongan itu tetap degil dan meragui keupayaan bahasa negara sendiri dan sengaja membutakan diri akan hakikat bahawa semua tamadun besar di dunia ini membangun melalui upaya bahasa sendiri seperti Jerman, Russia, Turkiye, Britain, Amerika Syarikat (AS), Sepanyol, Korea dan Jepun.

“Hakikatnya, kita wajiblah menjunjung bahasa negara sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button