Berita UtamaDunia

Tiada tempat selamat pindahkan pesakit dari Hospital Al Shifa

Rejim Zionis kepung kawasan itu sejak tiga hari lalu

GAZA, 30 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Tiada tempat yang selamat untuk memindahkan pesakit yang cedera dan bayi baru lahir daripada Hospital Al Shifa di Gaza kerana rejim pengganas mengepung kawasan itu sejak tiga hari lalu, lapor Agensi Anadolu.

Ratusan pesakit yang cedera kini tidak boleh meninggalkan hospital, kata Ketua Pengarah Hospital Gaza, Mohammed Zaqqout dalam kenyataan.

Malah, katanya, ketiadaan bekalan elektrik dan gangguan perkhidmatan perubatan di hospital telah mengakibatkan 32 pesakit dan bayi baru lahir meninggal dunia.

Meskipun rejim pengganas menawarkan bekalan elektrik namun ia tidak mencukupi untuk menghidupkan generator di hospital berkenaan walaupun dalam tempoh sejam.

Sejak minggu lalu lagi, kawasan sekitar hospital itu mengalami serangan udara berat Israel, termasuk beberapa serangan udara di dalam kawasan Hospital Al Shifa itu sendiri.

Rejim pengganas mendakwa hospital berkenaan digunakan oleh kumpulan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) untuk dijadikan pangkalan tentera di bawah tanah, tuduhan yang dinafikan oleh kumpulan Hamas.

Kelmarin, pihak berkuasa tempatan di Gaza berkata, 22 hospital di wilayah terkepung itu lumpuh dan tidak mampu beroperasi akibat serangan rejim pengganas.

Ketika serangan Israel di Semenanjung Gaza memasuki hari ke-38, kira-kira 11,240 rakyat Palestin telah terkorban, termasuk lebih 7,760 kanak-kanak dan wanita, dan lebih 28,200 yang lain telah cedera, menurut angka terbaru oleh pihak berkuasa Palestin.

Selain itu, ribuan bangunan termasuk sekolah, hospital, masjid dan gereja juga telah rosak atau musnah dalam serangan udara dan darat Zionis yang tidak henti-henti ke atas semenanjung itu – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button