Berita Utama

Hadkan kempen PRK, pastikan tiada lawatan rumah ke rumah

Kehendak Perlembagaan tak boleh dibatal oleh usul di Parlimen atau keputusan Kabinet

BANGI, 15 Rabiulawal 1442H, Ahad – Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak perlu diteruskan meskipun terdapat kebimbangan penularan wabak COVID-19 ketika ini, kata pakar Perlembagaan, Dr Fathi Yusof.

Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, sekiranya berlaku kekosongan kerusi atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, pilihan raya perlu diadakan. 

“Kehendak Perlembagaan tidak boleh dibatalkan oleh usul di Parlimen atau melalui keputusan Kabinet.

“…melainkan jika Perlembagaan dipinda dengan sokongan undi 2/3 anggota dewan untuk melonggarkan kehendak itu,” katanya. 

Beliau berkata demikian mengulas kegusaran rakyat selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan PRK atau PRN mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen selari Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak juga memperuntukkan pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya.

“Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, bolehlah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya ini sehingga COVID-19 berakhir,” kata Muhyiddin. 

Bagi mengelakkan COVID-19 terus merebak, Dr Fathi mengesyorkan pihak berkuasa supaya memperketatkan peraturan kempen dan pengundian supaya risiko penularan wabak dapat dikurangkan.

“Syarat ketat itu meliputi peraturan berkaitan penamaan calon, kempen, hari mengundi. Penamaan calon tidak boleh ada perhimpunan dan perarakan. 

“Kempen pula perlu dilaksanakan dengan ketat misalnya tiada lawatan rumah ke rumah atau perhimpunan besar. Kempen atas talian diutamakan. 

“Cuma perlu beri perhatian khusus kepada kelompok yang menghadapi masalah kekangan talian internet,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, ini juga adalah waktu yang terbaik untuk mengehadkan ‘perang poster’ dan menamatkan amalan pembaziran bahan kempen.

“Bendera, poster, papan iklan dan kain rentang juga perlu dihadkan. Kalau perlu dibenarkan pun ialah papan iklan kerana ia boleh menyampaikan maklumat manifesto dan maklumat calon. 

“Itu pun perlu dihadkan dari segi saiz dan jumlah bagi setiap kawasan Parlimen dan DUN supaya tidak berlaku pembaziran dan ketidakadilan untuk parti dan calon yang kurang dana,” katanya.

Pun begitu, di sebalik semua itu, apa yang lebih penting, katanya, adalah aspek penguatkuasaan peraturan. 

“Ini kerana saingan sengit biasanya mendorong keadaan luar kawalan. Inilah yang pernah berlaku dalam PRN Sabah.

“Media massa kerajaan pula perlu memberi ruang yang seimbang kepada semua parti termasuk parti pembangkang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button