Berita Utama

PN kini dalam pemikiran orang Melayu seluruh negara

Shahidan Kassim tepis dakwaan ‘tak laku’ di Johor

BANGI, 9 Safar 1445H, Sabtu – Perikatan Nasional (PN) kini sudah berada dalam pemikiran orang Melayu seluruh negara berdasarkan prestasi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, PN di Negeri Sembilan berjaya meraih lima kerusi, dan di Pulau Pinang pula (PN) mendapat 11 kerusi.

“Paling mengejutkan adalah di Selangor, PN meraih 22 kerusi hanya kurang tujuh kerusi untuk dapat membentuk kerajaan.

“Jadi tidakkah di sini menunjukkan bahawa satu perubahan besar berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mungulas dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan yang mendakwa PN tidak laku di Johor.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, yang sepatutnya membuat perubahan adalah UMNO berikutan parti itu kini semakin ditolak pengundi berikutan pemimpin parti itu.

Katanya lagi, UMNO tidak boleh terbuai dengan legasi nostalgia lalu – merujuk kepada UMNO ditubuhkan di Johor.

“Jika nostalgia itu membawa UMNO jadi lebih kuat tidak apalah tetapi UMNO semakin ditolak disebabkan pemimpin UMNO sedia ada yang lari dari prinsip,” katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya UMNO membuat perubahan dan dijenamakan semula dari segi pemikiran dan tidak seharusnya bersama DAP.

“Itu kena dibuat, ingat senang mahu mengubah pemikiran anak muda serta akar umbi untuk menerima DAP.

“Selama ini bukan main gah bercakap menolak kerjasama dengan parti berkenaan (DAP),” katanya.

Sebelum ini, Nur Jazlan mendakwa gelombang PN yang bakal melanda Johor susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bagai bermimpi di siang hari.

PRK di kedua-dua kawasan itu dilaksanakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button